UUM TERIMA SIJIL PENGHARGAAN ANUGERAH KKP PERINGKAT NEGERI KEDAH
UUM ONLINE: Alor Setar - Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima penghargaan sebagai institusi pengajian tinggi yang cemerlang dalam pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) bagi Peringkat Negeri Kedah di Majlis Penyerahan Sijil Penghargaan Anugerah KKP Negara 2023 sempena Pelancaran OSH Week Peringkat Negeri Kedah 2024 di Dewan Serbaguna Fasa II (Dewan KDN), Wisma Persekutuan Anak Bukit, semalam.
Penyampaian sijil penghargaan tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Keselamatan Pekerjaan) Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Malaysia, Bahrudin Mamat.
Beliau berkata, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 dan Akta Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2022 adalah terpakai kepada semua tempat kerja termasuk sektor perkhidmatan awam dan badan berkanun.
Menurutnya, menerusi perundangan baharu ini, DOSH akan memfokuskan kepada pengurangan dan pencegahan kemalangan di tempat kerja.
“Justeru, semua tempat kerja tidak kira sektor awam mahupun swasta hendaklah melaksanakan penilaian risiko bagi mencegah kemalangan.
“Tindakan mahkamah akan diambil oleh pihak DOSH terhadap tempat-tempat kerja yang gagal melaksanakan penilaian risiko sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah DOSH Kedah, Idris Abdul Rahman berkata, selain daripada program-program mempromosikan pemakaian Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 dan Akta Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2022, penyampaian sijil penghargaan seumpama ini merupakan satu pengiktirafan kepada tempat-tempat kerja yang cemerlang dalam pengurusan KKP.
“Saya mengucapkan tahniah dan juga berdoa agar kecemerlangan di peringkat negeri Kedah ini diterjemahkan dengan kejayaan memenangi anugerah di peringkat kebangsaan kelak,” katanya.
Hadir mewakili Naib Canselor UUM bagi menerima sijil penghargaan tersebut ialah Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Risiko (RMD) UUM, Ts. Dr. Syazwan Syah Zulkifly yang diiringi oleh Penolong Pengarah RMD, Mohd Nasiruddin Abu Ghani.