PENSYARAH MUDA BUDAYAKAN PENGHASILAN PENYELIDIKAN BAGI PULANGAN KEPADA MASYARAKAT
PENSYARAH MUDA BUDAYAKAN PENGHASILAN PENYELIDIKAN BAGI PULANGAN KEPADA MASYARAKAT
UUM ONLINE: Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) telah menganjurkan Bengkel ‘Coaching Talent Grooming (Publication)’ dan ‘Best Practices Sharing’ Tadbir Urus Makmal Luar Kampus bersama Profesor Adjung Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dr. Mohd Shahir Shamsir Omar di Restoran Tasek UUM dan tapak projek Makmal Penyelidikan Luar Kampus selama dua hari bermula 16 Julai lalu.
Bengkel yang diadakan khusus untuk staf akademik Kohort C yang berumur di bawah 40 tahun itu memberi tumpuan utama kepada penyelidik muda dengan tema "Spirit of Scholars – Giving Back to Community".
Pengarah RMC, Prof. Madya Dr. Nor Idayu Mahat berkata, bengkel ini bertujuan membangkitkan semangat dan motivasi dalam kalangan penyelidik muda, menggalakkan mereka menghasilkan penyelidikan yang berimpak tinggi dan memberi manfaat besar kepada masyarakat.
Selain itu, menurutnya, bengkel ini menekankan pentingnya suntikan motivasi dalam pembinaan kepakaran serta peningkatan keterlihatan diri di peringkat nasional dan antarabangsa melalui penerbitan dan pameran hasil penyelidikan.
Katanya, antara intipati utama yang dibincangkan ialah peningkatan kualiti penyelidikan di mana motivasi yang diberi diharapkan dapat mendorong penyelidik muda menghasilkan penyelidikan yang lebih berkualiti dan relevan.
“Bengkel ini juga menawarkan pendedahan kepada teknik dan metodologi penyelidikan terkini, serta mempromosikan kerjasama antara penyelidik muda dengan rakan sebaya dan pakar dalam bidang yang berbeza, membuka peluang untuk jaringan yang lebih luas.
“Dari segi keterlihatan, penyelidik muda Kohort C didedahkan kepada strategi untuk menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi yang boleh diterbitkan dalam jurnal terkemuka, sekali gus meningkatkan pengiktirafan universiti di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, mereka juga diberi peluang untuk membentangkan dan mengembangkan hasil idea mereka sambil memperkukuhkan hubungan antara universiti dan komuniti melalui penyelidikan yang memberi pulangan kepada masyarakat.
Menurutnya, pendedahan mendalam mengenai strategi dan pendekatan berimpak tinggi ini bertujuan menjadikan universiti sebagai institusi yang relevan dan responsif terhadap keperluan masyarakat.
Melalui bengkel ini, adalah diharapkan penyelidik muda UUM akan dapat menghayati semangat penyelidikan dan mampu memberikan sumbangan bermakna dalam bidang penyelidikan, inovasi, pengkomersilan, keusahawanan, dan kemasyarakatan (R.I.C.E.S).
Turut serta, Timbalan Pengarah (Unit Tugas Khas dan Piawaian), Dr. Mohamad Sabri Sinal @ Zainal.
Kemudian, RMC bersama Prof. Dr. Mohd Shahir telah mengadakan lawatan ke Makmal Penyelidikan Luar Kampus UUM, antaranya projek tanaman cili fertigasi di Kampung Tradisi yang diketuai oleh Dr. Rozana Samah dan projek Cyntok Bhatik di Kampung Lebai Saman, Naka yang diketuai oleh Prof. Madya Ts. Dr. Adzrool Idzwan Ismail.
Kedua-dua projek komuniti ini telah berjaya mencipta peluang pekerjaan kepada komuniti desa serta menjana pendapatan bagi kelangsungan hidup mereka.
Turut hadir semasa lawatan ini ialah Pengarah CUIC, Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam; Timbalan Pengarah Penyelidikan, RMC, Dr. Annuar Aswan dan Ketua Penolong Pengarah RMC, Muhammad Hafiz Mohd Ghazali.
Dengan perkongsian pengalaman luas oleh Prof. Dr. Mohd Shahir, RMC yakin bahawa bengkel ini dapat membantu memberikan dorongan dan membuka minda para penyelidik muda dan memberi inspirasi untuk terus mencapai kecemerlangan penghasilan penyelidikan yang dapat memberikan manfaat kepada masyarakat.