25 JUN 2024 / 18 ZULHIJJAH 1445H
=============================
Oleh: Nordiana Shafiee
Gambar oleh: Mohd Fuad Hamid
UUM TERIMA SUMBANGAN RM2 JUTA DARIPADA PKT LOGISTICS GROUP
UUM ONLINE: Bayan Lepas - Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima sumbangan RM2 juta daripada PKT Logistics Group Sdn. Bhd. bagi tujuan PKT Elite Management Trainee Program.
Di samping itu, UUM turut menerima cek cura untuk geran penyelidikan bernilai RM115,000.
Penyerahan tersebut dilakukan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PKT Logistics, Dato’ Seri Michael Tio kepada Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan di Jadeite Hall, Amari SPICE, hari ini.
Majlis penyerahan itu disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Dr. Zambry Abd Kadir ketika hadir Sesi Dialog Menteri Pendidikan Tinggi Bersama Industri Elektrik dan Elektronik (E&E).
Turut terima cek simbolik daripada rakan industri ialah Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sebagai menzahirkan kerjasama strategik antara industri dan institusi pendidikan tinggi dalam membangunkan bakat masa depan.
Sesi dialog hari ini bertujuan bagi mendapatkan lebih pemahaman tentang isu dan cabaran yang dihadapi oleh sektor E&E.
Bersama panel terdiri daripada naib-naib anselor, Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Dr. Zambry berkata, sesi dialog ini merupakan antara usaha sama antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan pemain industri E&E.
Menurutnya, KPT ingin mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai keperluan sektor tersebut dari segi bekalan bakat dan penawaran kerja.c
Selain itu, menurutnya, KPT juga cuba untuk mendapatkan input/maklum balas dan cadangan bagi menjadikan industri E&E dan semikonduktor lebih kompetitif dan berkembang.
“KPT komited dalam menyediakan bakat masa depan negara dengan pengetahuan dan kemahiran termaju yang diperlukan untuk menyokong teknologi yang berubah dengan pesat dalam industri E&E.
“Jadi, kita memerlukan maklum balas daripada rakan industri yang terlibat dengan KPT dan ambil peluang ini untuk luaskan jaringan kerjasama antara satu sama lain,” katanya di Sesi Dialog Menteri KPT Bersama Industri E&E.
Beliau juga berterima kasih kepada semua yang meluangkan masa untuk hadir dan memberi jaminan bahawa KPT tidak akan ‘lari’ daripada industri dan cuba untuk membantu menangani isu-isu berkaitan, malah beliau yakin banyak lagi yang boleh dilakukan bersama.
Sesi dialog itu dikendalikan oleh moderator, Prof. Ir. Ts. Dr. Shahrel Azmin Sundi @ Suandi, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, USM sebagai tuan rumah.
Sesi dialog bersama rakan kolaborasi industri E&E ini adalah daripada Program MOHE Research & Industry Infused Incubator (MRI3), USM.
Diskusi strategik ini juga penting buat semua yang terlibat dalam merapatkan jurang antara universiti awam dengan industri E&E, serta menyumbang kepada usaha negara untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan inovasi.
Sementara itu, Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, salah satu faktor utama yang memacu kejayaan Malaysia dalam bidang ini adalah komitmen USM dalam mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk inovasi dan pelaburan.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), KPT, Dato’ Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian dan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman serta pemain industri E&E.
Turut serta dari UUM ialah Dekan STML, Prof. Madya Dr. Mohamed Najib Salleh; Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), STML, Prof. Madya Dr. Wan Nadzri Osman dan Pengarah CUIC, Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam.